Pemeriksaan Rutin Ketika Mengandung

pemeriksaan antenatal

Setelah doktor mengesahkan anda hamil, setiap ibu mengandung akan mula menjalani rutin pemeriksaan kehamilan atau pemeriksaan antenatal.

Pemeriksaan antenatal adalah penting sepanjang tempoh kehamilan demi memastikan tahap kesihatan ibu dalam keadaan baik.

Bagi para ibu yang pertama kali hamil dan juga ibu dan bapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pemeriksaan rutin ketika mengandung yang dijalankan, di sini dikongsikan beberapa ujian rutin yang perlu dijalani.

Ujian Tekanan Darah

Ujian ini penting kerana pemantauan tahap tekanan darah dapat membantu mengesan sebarang risiko yang mungkin berlaku. Sebagai contoh, sekiranya tekanan darah adalah tinggi, risiko seorang ibu untuk bersalin atau melahirkan anak melalui kaedah pembedahan adalah tinggi selain kemungkinan timbul komplikasi terhadap kehamilan ataupun semasa proses kelahiran.

Ujian Ultrasound

Ujian ultrasound atau imbasan bunyi dilakukan untuk memantau kedudukan, saiz, usia dan perkembangan janin (bayi) di dalam rahim ibu. Ia turut membantu mengesan sebarang keganjilan pada janin. Kebanyakan ibu suka menjalani ujian ini kerana dengan teknologi masa kini membolehkan gambaran janin dipaprkan dengan lebih jelas pada skrin ketika proses ujian.

Kadar Denyutan Jantung

Ujian ini diambilkira bagi memastikan jantung ibu hamil dalam keadaan dan berfungsi dengan baik. Bahkan, semasa hamil, jantung ibu tentunya perlu bekerja dengan lebih kuat untuk mengepam darah daripada kebiasaannya.

pemeriksaan antenatal

Ukuran Tinggi

Ketinggian ibu akan diukur semasa pemeriksaan antenatal peringkat awal. Ketinggian ibu adalah gambaran terhadap saiz serviks dan sedikit sebanyak membantu memberi gambaran bagaimana pembukaan pelvik ibu semasa proses kelahiran kelak. Pelvik yang terlalu kecil akan menyukarkan kepala bayi melaluinya dan mungkin menyumbang kepada kebarangkalian untuk proses kelahiran secara pembedahan.

Timbang Berat Badan

Setiap kali menjalani pemeriksaan antenatal, berat badan ibu akan dicatat bagi memantau perkembangan kehamilan. Ibu hamil pasti akan mengalami pertambahan berat badan sepanjang tempoh kehamilan. Namun, pertambahan berat badan yang mendadak dan tidak normal berisiko menyebabkan pelbagai komplikasi dan perkara ini seharusnya diberi perhatian rapi.

Ujian Air Kencing

Para ibu juga perlu memberi ‘sample’ urin atau air kencing ketika pemeriksaan antenatal. Contoh urin inin akan diuji untuk mengesan sebarang jangkitan (kiranya ada) atau komplikasi yang tidak normal pada kandungan.

Ujian Darah

Darah ibu akan turut diambil dan diuji untuk mengesan sebarang kelainan atau penyakit yang berisiko terhadap kehamilan.

Kaki dan Tangan

Bahagian kaki dan tangan akan turut diperiksa terutamanya apabila kehamilan telah memasuki fasa terakhir. Ini bagi mengesan sebarang bengkak akibat pengumpulan air.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *