Mengidam Ketika Hamil

mengidam semasa hamil

Perempuan yang sedang mengandung akan mengalami perubahan hormon yang lebih ketara dalam badannya tetapi dalam perkara mengidam terdapat perbezaan antara setiap individu.

Ada yang tidak dapat menahan keinginan yang pelik-pelik, tetapi ramai juga yang tidak berperangai seperti orang mengidam kerana mereka lebih dapat menahan diri. Mereka berdisiplin terhadap diri sendiri dan mengatur keinginan ke arah yang positif.

Masa mengidam itu mungkin menjadi kenangan yang sukar dilupakan nantinya. Asalkan yang diinginkan itu bukanlah makanan yang membawa mudarat, seperti kapur, tanah, cacing dan sebagainya. Jika mengidam dengan benda-benda yang asam mungkin masih boleh dikatakan tubuh memerlukan vitamin yang terkandung dalam asam tersebut.

mengidam ketika hamil

Jika yang diidamkan itu sering kepada makanan yang kurang baik pada kesihatan kerana banyak mengandung lemak serta tidak mengandungi bahan pembangunan badan, maka sudah tentu akan mempengaruhi pertumbuhan janin. Pada zaman sekarang ini boleh dikatakan hampir setiap wanita mengetahui bahawa bayi dalam kandungan memerlukan bahan makanan yang baik untuk pertumbuhan dan perkembangannya. Namun masih ada yang mengidam sesuatu yang kurang baik untuk kesihatannya. Kadangkala apa yang baik yang diidamkan itu tidak difikirkan dahulu manfaatnya, baik untuk dirinya sendiri mahupun untuk bayi yang ada dalam kandungannya.

Pada masa lalu, ada pendapat yang mengatakan bahawa bila keinginan seorang wanita hamil tidak terpenuhi akan memberi kesan buruk pada bayi. Mengidam dianggap merupakan isyarat daripada bayi yang meyatakan keinginannnya dengan berbagai macam selera. Oleh sebab itu seorang suami yang penuh perhatiannya akan berusaha memenuhi keinginan isterinya, walaupun ia harus bersusah payah untuk mencarinya waktu tengah malam dan sebagainya.

Mengidam sebenarnya tiada hubungannya dengan bayi mahupun kesihatannya. Walaupun begitu para suami zaman sekarang masih tetap berusaha untuk memenuhi keinginan isteri yang mengidam. Malah ada yang beranggapan bahawa keingianan tersebut adalah keinginan bayi yang ada dalam kandungan isterinya.

Mengidam itu paling kuat dirasakan antara minggu ke lapan dan keenam belas dari masa kehamilan, iaitu ketika rasa mual mula agak berkurangan. Setelah minggu keenam belas, biasanya mengidam ini agak berkurangan, kerana tubuh telah dapat menyesuaikan diri dengan perubahan hormon. Tetapi dapat juga terjadi, sepanjang hamil masih terus mempunyai keinginan untuk makan makanan tertentu. Ini disebabkan dalam jangka masa pertama mengidam itu erat kaitannya dengan perubahan hormon dalam tubuh. Kemudian pada jangka masa seterusnya, boleh dikatakan ini lebih bersifat kecanduan.

Perubahan hormon di awal kehamilan menyebabkan berubahnya selera. Itulah sebabnya terhadap makanan tertentu, hanya mencium baunya sahaja sudah membuat wanita hamil menjadi mual. Misalnya bau nasi yang baru masak, bau orang menumis, bau asap rokok dan sebagainya. Ramai juga wanita yang sedang hamil muda tidak mempunyai selera sama sekali untuk makan. Ada pula yang selama tiga bulan pertama kehamilannya terus merasa mual, sehingga tidak menyukai beberapa jenis makanan tertentu.

Mengidam itu merupakan dorongan dari dalam. Selama yang diingini oleh wanita yang hamil tidak mengganggu keselamatan bayi mahupun dirinya sendiri, hal itu tidak ada salahnya. Tetapi pada umumnya segala apa yang diinginkan hanya membuat tekanan darah menjadi naik, pencernaan terganggu, membuat badan menjadi gemuk. Malah kadangkala menghilangkan nafsu makan sehingga tidak mahu lagi makanan yang menyihatkan. Oleh itu keinginan atau mengidam makanan yang tidak menentu itu hendaklah dilawan sahaja.

Seorang ibu yang hamil ketika datang keinginan terhadap sesuatu atau mengidam ini, hendaklah menemui teman-teman yang ada di sekelilingnya untuk mendapatkan pandangan tentang keinginannya tersebut. Dengan demikian sahabat terdekat atau keluarga dapat menyarankan dan mengalihkan sesuatu yang tidak baik yang diingini itu kepaa sesuatu yang lebih bermanfaat. Kerana mengidam sebenarnya adalah sesuatu perasaan yang ada dalam hati kecil, ataupun sesuatu keinginan yang tersembunyi, kalau diceritakan kepada orang lain, mungkin akan berkurangan.

Bagi yang mengidam selama kehamilan, maka hari terakhir sebelum melahirkan merupakan hari yang terakhir mengidam. Pada waktu kelahiran, susunan hormon juga berubah lagi, kerana keluarnya ari-ari bersama bayi. Akibat perubahan ini selera makanpun akan berubah juga.

Apa yang disukai ketika hamil mungkin sekarang tidak disukai lagi. Kalau pada kelahiran pertama boleh dikatakan setiap hari memakan makanan yang asam dan pedas-pedas, maka ini tidak bererti kebiasaan itu akan kembali semula pada kehamilan yang berikutnya. Walaupun kemungkinan itu ada, kerana sekarang lebih dapat menahan diri, maka keinginan untuk makan yang aneh-aneh itu akan mudah untuk ditahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *